DIA DICIPTAKAN UNTUKKU..

"Lantaran adanya wanita, alam menjadi indah, lantaran adanya lelaki, dunia menjadi sempurna. Lantaran adanya lelaki dan wanita sempurnalah suatu kelemahan di sebalik suatu kekuatan"


Sunday, July 11, 2010

Cian Ritakan~~Rita akui hamil dalam tekanan...

EPISOD duka pelakon popular, Rita Rudaini Mokhtar, 34, masih belum berkesudahan. Malah, lebih teruk pertelingkahannya dengan keluarga mentua semakin tegang. Mangsanya adalah rumah tangga yang dibina atas dasar cinta bersama pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak, 23.
Ketika ini, Rita cukup tertekan apatah lagi dirinya sedang hamil anak kedua. Rita disahkan hamil dua bulan, baru-baru ini. Ikuti luahan hati Rita kepada B*POP. 

“Apa yang ditekankan sebenarnya bukan kes pergolakan rumah tangga saya. Antara saya dan Aidil tiada masalah besar, kalau ada sekalipun ia dapat diselesaikan dengan baik. Masalah timbul apabila saya difitnah. Individu yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah memberitahu menerima maklumat daripada keluarga mentua.
“Sebab itulah saya mengatakan rumah tangga saya jadi huru-hara disebabkan campur tangan individu tertentu dan keluarga mentua. Apabila masing-masing nak mempertahankan diri dan menyalahkan satu antara lain, jadi terkeluar cerita yang selama ini dipendam. Saya terpaksa membuka mulut apabila tidak tahan dengan kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini.
“Bagaimanapun, kisah rumah tangga saya pula jadi isu utama sedangkan cerita fitnah dan individu yang bertanggungjawab berlalu begitu saja. Kepada keluarga mentua, tak perlulah bercerita hal-hal yang berkaitan dengan keluarga kepada orang lain, inilah jadinya... Perkara keruh semakin bertambah keruh, benda yang dingin jadi bara. Rumah tangga saya dan Aidil jadi mangsa. Saya dan Aidil jarang bergaduh tetapi disebabkan itu tak kena, ini tak kena pasal keluarganya, kami pula bermasam muka,” katanya dalam nada sebak.
Baginya, Tuhan Maha Adil dan percaya Tuhan akan memberi balasan setimpal kepada mereka yang menabur fitnah dan menganiayai dirinya apatah lagi kini sedang berbadan dua. Rita mengharapkan mereka yang menyebarkan fitnah itu supaya cerminlah diri sendiri terlebih dulu sebelum mengata pada orang lain.
“Jaga maruah diri dan kaum wanita. Diri sendiri pun `busuk’, rasanya satu industri sudah tahu perangai pelakon wanita itu mengalahkan bangkai, tak payahlah nak berlakon baik macam dalam drama. Janganlah sibuk tengok kain orang, pandanglah kain sendiri yang sudah lama reput dan busuk. “Saya bukan minta simpati apatah lagi meraih belas kasihan suami. Saya sedar saya terpaksa menepis segala tohmahan dan fitnah. Saya kena pertahankan maruah sebagai seorang isteri dan ibu. Cuma saya berdoa supaya Tuhan memberi balasan dan petunjuk pada mereka yang menabur fitnah dan menganiaya wanita yang mengandung,” katanya.
‘Saya rela mengalah...’
Rita membayangkan dirinya akan bahagia jika keluarga Aidil dapat menerima dirinya dan anak hasil perkongsian hidup dengan Aidil, tetapi selepas lebih dua tahun berkahwin dan kini mengandung anak kedua, dia tidak pernah rasa keluarga Aidil dapat menerima dirinya.
“Saya tidak tahan mendengar fitnah, disebabkan itu saya keluarkan kenyataan yang terbuku di hati. Dan fitnah yang disebarkan oleh bakal menantu mereka menyebabkan saya hilang sabar. Saya malu dan kecewa apabila wartawan dan orang dalam industri bertanya, seolah-olah perangai saya buruk sangat!
“Saya tahu Aidil tidak akan mengetepikan keluarganya, saya juga tidak mahu Aidil berbuat demikian, tetapi bagi peluang pada saya dan anak. Saya bukannya nak rampas Aidil, tetapi saya hanya menumpang kasih sayang dan mahu berkongsi suka duka.
“Permintaan saya tak banyak, fahami saya. Dia boleh pulang ke rumah ibu bapanya bila-bila masa, saya tidak pernah menghalang tetapi pada masa sama, jangan kecilkan hati saya. Jika masalah tidak berlarutan, saya dengan rela hati akan mengajak Aidil pulang ke rumah keluarganya, suatu ketika nanti.
“Saya nak rasa bahagia macam wanita lain yang berkeluarga. Saya bangga dengan suami dan saya rela mengalah tetapi saya perlukan masa, biarlah apabila bertemu nanti, hati saya benar-benar ikhlas bukan paksaan,” katanya.
Rita tidak menafikan dirinya berada dalam tekanan apatah lagi terpaksa menempuh kehamilan anak kedua.
“Saat ini, ketika hamil anak kedua... tetapi keadaan bertambah tegang lagi. Fitnah yang tersebar membuatkan saya lebih tertekan. Pada masa sama, saya terpaksa menjaga kesihatan kandungan. Aidil tahu saya mengandung, saya memberitahunya ketika hari raya kelima ketika saya rasa seperti tidak sedap badan, perkara sama dialami ketika hamil anak pertama dulu.
Tak sanggup dihalau lagi
“Apabila pulang ke Kuala Lumpur, doktor mengesahkan saya hamil dua bulan. Ketika ini, tahap kesihatan saya teruk, mual dan sering sakit kepala. Rasanya makin hari makin teruk kerana saya sentiasa demam. Tetapi saya mahu bekerja kerana tidak mahu memikirkan pertelingkahan yang berlaku. Saya baru saja menyelesaikan telefilem Selamat Datang Anak-Anak Suamiku arahan Ismail Yaacob untuk TV3.
“Soal undangan keluarga mentua, tidak dinafikan, Aidil ada memberitahu keluarga mentua menjemput saya menghadiri kenduri meraikan kejayaan pasukan bola sepak Negeri Sembilan melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia, November tahun lalu.
“Selama hari ini, kami tidak pernah berbaik, tetapi tiba-tiba saya muncul di rumah mereka. Saya tidak sanggup melalui kejadian dihalau dan dihina sekali lagi. Saya tidak sanggup memikirkan segala kemungkinan yang berlaku,” katanya.
Mengulas kesediaan mentua datang bertandang, Rita berkata Alhamdullilah, akhirnya terbuka juga hati mereka bertandang ke kampungnya di Perlis.
“Jika mereka mahu bertandang, saya sekeluarga bersyukur kerana sudah lama kami menunggu kunjungan mereka, kecil tapak tangan, Stadium Merdeka kami tadahkan,” katanya.
Berhubung kenyataan mentuanya di dada akhbar sejak akhir ini, Rita berkata: “Apa yang mentua saya nak cakap dan cerita, biarlah... Saya tidak akan betulkan kenyataan kerana ia akan membongkar segala-galanya nanti. Kita boleh menipu masyarakat, tetapi kita tidak boleh menipu Tuhan. Tuhan Maha Mengetahui. Kita sendiri tahu apa yang dilakukan selama ini, sama ada kita insaf atau sebaliknya, itu kuasa Tuhan,” katanya.
Aidil gembira bakal timang anak kedua
BAGI Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak cinta dan kasihnya pada isteri dan anak tidak pernah luntur meskipun ketika ini berlaku krisis rumah tangga akibat sesuatu yang tidak dijangkanya.
Aidil berkata, dia terlalu sayang isteri dan anaknya, Airit Rayyan Rizkin, malah apa yang berlaku tidak sedikitpun merubah kasih sayang dan perhatiannya pada keluarga.
“Saya dan Rita bahagia, malah saya lebih bahagia apabila mendapat tahu Rita hamil anak kedua. Kami sudah mengenali hati budi sejak lima tahun lalu, malah saya tahu perangai isteri saya. Dia mungkin agak keras hati, tetapi Rita seorang yang penyabar. Disebabkan keras hatilah menyebabkan kami masih hidup bersama.
“Saya tahu isteri saya tertekan apabila berdepan dengan fitnah yang keterlaluan tetapi biarlah, asalkan saya tahu siapa isteri saya. Kalau kita terlalu memikirkan soal kata-kata orang, hidup tidak akan aman. Apa yang penting hari ini adalah kebahagiaan rumah tangga dan keluarga saya.
“Sebagai ketua keluarga, saya tetap berusaha perlahan-lahan memulihkan hubungan isteri dan keluarga. Saya sayangkan isteri, dalam masa yang sama, saya hormati ibu bapa saya. Impian saya mahu pertemukan Rita, keluarga mentua dan keluarga saya.
“Insya-Allah, saya mahu mereka berdamai. Saya percaya perbalahan tidak akan selesai jika masih berbalas kenyataan di akhbar, ia akan mengeruhkan hubungan.
“Kami sudah berbincang dari hati ke hati, Rita tidak kisah beralah, asalkan rumah tangga kami terpelihara. Apa yang saya nak tekankan di sini, tidak terdetik di hati kami nak bercerai seperti tersebar dalam internet.
“Walau apa pun yang berlaku, kami reda dan sanggup mengharungi suka duka bersama demi anak-anak kami. Berpisah jauh sekali,” katanya tenang.